Assalamualaikum!


Tadi skodeng-skodeng facebook terjumpa post entry INI.
Biasanya, kalau ada aje entry yang komen pasal Kelantan saya malas nak tengok.
Sebab saya takut entry itu berunsur kritikan/kutukan. Yalah, kan ramai tak suka Kelantan?
Lagipun dulu pernah jumpa blog khas yang kutuk Kelantan. Boleh teima lagi diorang nak
kata Kelantan negeri miskin atau rakyat kelantan perangai buruk.

TAPI! Apabila saya terbaca komen yang berunsur cacian terhadap Tok Guru.
MAAF. Saya memang tak boleh terima dan sangat marah dengan orang yang mengutuk ulama'.
Tapi tadi, apabila terjumpa entry Kunjungan Ke Kelantan, Indah Rupa Dari Khabar,
tertarik untuk baca apa yang dikata.

Ini petikan yang diambil dari entry tersebut :
Indahnya Kelantan...

Sebenarnya, sejak setahun lalu, selepas menjadi penulis sepenuh masa, saya begitu ingin ke Kota Bharu, Kelantan untuk menikmati suasana di sana. Kali terakhir – juga pertama kali – saya ke sana pada 1995 sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Kem Kijang.

Baru-baru ini, pihak tertentu sibuk mengeluarkan kenyataan betapa miskin dan mundur negeri Kelantan. Pasti sahaja segala kenyataan itu bertujuan politik; apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir.

Maka, pada akhir Februari lalu, saya mengambil keputusan untuk ke Kelantan – khususnya Kota Bharu – untuk melihat sendiri segala “kemunduran” dan “kemiskinan” yang diperkatakan pihak berkenaan.
Bagi saya, daripada bergantung serta percaya bulat-bulat pada apa yang dikatakan orang, lebih baik saya pergi sendiri untuk melihat, mengalami serta merasai sendiri suasana sebenar di sana.

Sebaik sahaja saya menyatakan keinginan untuk ke Kota Bharu menerusi ruangan status di Facebook, reaksi positif yang diterima amat memberangsangkan.

Begitu ramai rakan-rakan di ruang siber – kebanyakannya belum pernah saya temui secara bersemuka – tampil “mempersilakan” saya melakukan kunjungan yang dirancang.

Mereka yang bukan anak Kelantan juga menyokong cadangan saya untuk ke Kota Bharu; khususnya apabila saya sudah menyatakan sejak awal bahawa saya mahu menulis siri artikel berdasarkan pengalaman saya ke tempat berkenaan.

Harus saya akui bahawa sebelum saya membeli tiket bas ekspres untuk ke Kota Bharu, saya sudah pun dapat merasai kemesraan, kesantunan serta segala nilai positif yang terdapat dalam kalangan penduduk di negeri Kelantan.

Begitu ramai rakan-rakan di Facebook yang mencadangkan tempat-tempat yang perlu dilawati dan makanan yang perlu dicuba. Begitu juga beberapa frasa penting dalam loghat tempatan yang wajar saya ketahui untuk memudahkan komunikasi.

Maka, saya tidak was-was untuk pergi ke Kota Bharu walaupun saya tidak ada kenalan atau saudara-mara di sana. Saya pergi sebagai “orang luar” untuk mendapatkan pengalaman baru secara objektif.

Rombongan besar
Saya tidak pernah menyangka bahawa segala urusan akan menjadi begitu mudah. Amy Suzani Mohd Ainuddin, salah seorang mangsa royalti teks Komsas, menawarkan untuk mengatur tempat penginapan dan perjalanan sepanjang saya di Kota Bharu.

Begitu juga, Nur Hidayah dari Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim) tampil menyatakan kesediaan untuk mengatur program yang sesuai sepanjang saya berada di sana.

Seorang lagi mangsa royalti teks Komsas, Rohani Deraman yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Johor Bahru turut melahirkan keinginan untuk ke Kota Bharu.

Maka, akhirnya, kami semua bertemu di Kota Bharu pada 11 Mac 2012 untuk sama-sama merasai suasana yang dilabelkan sebagai “mundur” dan “miskin” oleh pihak tertentu atas kepentingan politik.

Pada masa sama, Nik Faridah Mamat yang menyertai Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 26 Februari lalu mencadangkan supaya saya tidak melepaskan peluang bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tentu sahaja saya mahu bertemu Tok Guru! Saya pernah dibawa mengunjungi beliau pada 1995 dan saya dapat melihat serta merasai sendiri sifat-sifat mulia yang dimiliki pemimpin itu.

Hasil maklumat yang diberikan Nik Faridah, saya berjaya menghubungi Wan Nik Wan Yussof, setiausaha politik kepada Menteri Besar Kelantan. Dipendekkan cerita, beliau bersedia mengatur pertemuan seperti yang dihajati.

Sekitar seminggu sebelum saya bertolak ke Kota Bharu, Tasya iaitu anak Amy Suzani dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan. Nur Hidayah mengambil alih “tugas” untuk mengatur aktiviti sepanjang saya dan rakan-rakan penulis berada di Kota Bharu.

Nur Hidayah juga mendapatkan bantuan adik angkatnya, Abdul Mutalib Awang untuk menjadi pemandu kereta dan pemandu pelancong selama empat hari saya di sana. Pemuda berumur 23 tahun itu sanggup mengambil cuti bagi memastikan tetamu mendapat layanan yang sempurna.

Turut sama dalam “rombongan” ini ialah Zainab Ngah, seorang penulis dari Perak yang kini menetap di Terengganu. Walaupun kesihatannya agak terjejas, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama saya dan Rohani untuk meninjau sendiri segala “kemiskinan” dan “kemunduran” yang diperkatakan pihak tertentu.

Cikgu Roshidayu Che Mat yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Shah Alam turut datang bersama suami dan anaknya untuk sama-sama meninjau keadaan di Kota Bharu.

Saya turut berpeluang bertemu Wan Asyeah Wan Nawang, seorang penulis yang sebelum ini saya kenali berikutan komen negatif yang beliau berikan terhadap saya berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid dan Kamus Dewan.

Beliau segera meminta maaf dan mengakui bahawa komen negatif yang beliau berikan di Facebook pada tahun lalu adalah terlalu emosional dan “terikut-ikut cakap orang”.

Bagi saya, tidak menjadi masalah kerana saya bersedia menerima apa sahaja komen yang mahu dikemukakan.

Agak menarik bahawa hubungan kami berdua menjadi rapat dan mesra. Pasti orang tidak akan percaya bahawa Wan Asyeah pernah menulis komen negatif mengenai saya sebelum ini!

Murah dengan senyuman

Ada suatu perkara yang meninggalkan kesan dalam hati saya. Dalam perjalanan ke rumah Wan Asyeah, beliau singgah untuk membeli murtabak. Beliau membeli murtabak daging (lembu) untuk dihidangkan kepada rakan-rakan penulis yang datang.

Saya sangat tersentuh – secara positif – kerana beliau membeli sekeping murtabak ayam khusus untuk saya kerana beliau tahu dan sedar bahawa saya tidak makan daging lembu.

Insiden kecil ini amat bermakna kerana walaupun majoriti penduduk di Kelantan adalah orang Melayu beragama Islam, mereka amat sensitif terhadap budaya kaum/agama lain.

Semua yang saya paparkan ini berlaku dalam masa tidak sampai 24 jam saya berada di Kota Bharu. Orang ramai yang saya temui di tempat awam pula murah dengan senyuman.

Menceritakan pengalaman di Kota Bharu, Roshidayu berkata, pertemuan itu amat istimewa dan sukar dilupakan.

“Istimewa kerana berpeluang bertemu beberapa penulis yang sebelum ini hanya saya kenali melalui karya atau bersembang menerusi Facebook. Saya juga gembira kerana dapat sama-sama memberikan maklumat sebenar mengenai Kelantan kepada golongan penulis,” katanya.

Zainab Ngah pula melahirkan kekaguman melihat segala kemajuan – fizikal, sosial dan rohani – di Kota Bharu berbanding di Terengganu.

“Kalau nak suruh bandingkan antara Terengganu dan Kelantan, saya lebih kagum dengan Kelantan, baik dari segi pusat membeli-belah, rangkaian jalan raya dan bangunan tinggi. Terengganu Cuma berbangga dengan Taman Tamadun Islam yang tersergam indah Masjid Kristal yang tidak diiktiraf untuk solat Jumaat, serta replika masjid-masjid seluruh dunia. Kalau Kelantan dikatakan mundur, ternyata Terengganu pula lebih mundur,” katanya.

Bagi Rohani Deraman, beliau pernah tinggal di Kota Bharu pada tahun 1980-an. Melihat akan segala pembangunan di sini sekarang, beliau melahirkan rasa kagum dan bangga.

“Kota Bharu membangun sejajar bandar-bandar lain; termasuk di Lembah Klang. Rasa-rasanya tidak ada beza dengan segala kemudahan yang ada di Johor Bahru. Cuma, apa yang tiada di sini adalah pusat-pusat hiburan, panggung wayang dan kedai nombor ekor.

Mungkin itulah ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ yang dimaksudkan pihak tertentu apabila melabel Kelantan sebagai negeri yang mundur,” kata penulis sepenuh masa itu.

Saya akan menulis lagi mengenai pengalaman saya di Kota Bharu; khususnya mengenai “kemunduran” dan “kemiskinan” yang dihebohkan pihak tertentu.

Sama-samalah kita buat kesimpulan sama ada keadaan di Kota Bharu, Kelantan “indah khabar dari rupa” atau “indah rupa dari khabar”. -FMT

(Ditulis oleh Penulis Uthaya Sankar SB @ uthayasb.blogspot.com)

Kelantan, indah rupa dari Khabar.


sumber dari facebook I ♥ KELANTAN


Alhamdulillah!
Ada juga yang menilai Kelantan dengan mata hati. Bukan menilai dengan khabar angin yang 
tersebar atau kata-kata orang yang membenci Kelantan. Dan saya tersenyum melihat komen positif
orang ramai. Bukan apa. Sebab dah lama asyik dengan komen negetif aje.
Walaupun lebih banyak komen unsur negatif terhadap Kelantan.


Terima kasih kepada penulis yang menulis artikel tersebut. Terima kasih banyak-banyak.


Satu yang saya pelik.
Bukankah menteri kita menggunakan konsep 1Malaysia?
Dan bukan ke Kelantan ada dalam peta Malaysia?
Jadi kenapa nak buruk kan negeri yang ada dalam negara sendiri?



PS: JIKA ANDA MAHU KOMEN BERUNSUR KRITIKAN, MAAF. SILA PERGI DARI SINI.

6 Comments

  1. betul... sangat sokong.. kita semua berpijak pada bumi yg satu.. tak perlu untuk kutuk sesama sendiri

    ReplyDelete
  2. Lia pernah pergi Kelantan, tapi Lia rase kelantan takde la teruk sangat , okey je.. Pekerja dia pun ramah apeee.. Ade skali tu, Lia pegi Al-Ikhsan nak beli kasut tuk abg Lia,, pekerja dia cakap elok je.. Kaya dengan senyuman .. Siap bagi free gift sbb pestime datang kelantan :)

    kalau bab orang cakap penjual tu jeling lah, ape lahh.. tu perkare biase lah kan ? Sbbnye manusia ni mcm2 perangai. Dekat sume negeri pon ade manusie yg sombong. bukan kelantan je.. Walaupon Lia org terengganu,, Lia suke kelantan,, ^^ Lagi2, tok guru nik aziz tu bekas MB klantan :D

    ReplyDelete
  3. blogwalking sini sambil tekan2 nuffnang... kitakan berada dalam satu negara.. buat apa kita nak kutuk ngri2 y ada dlm ngra kita.... sama2 kita bngunkan ngra kita... jgn biar brat trus kuasai ngra kita.... pmusuhan ni cuma akan mnjejaskan reputasi ngra ja.... bsama kita bersatu.....
    jemput singgah sini http://cercitertashaqisha.blogspot.com/

    ReplyDelete
  4. salam... tadi yg nama pemenang GA dayangdeno, sori.. ada dah buat cabutan tadi, lupa letak nombor sbb nak cepat.. plus adam khaleef nangis tadi... huhu.. dah edit :)

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum...akak teringin nk pergi melancong kt Negeri Kelantan...nk lihat semua keindahan yg ada kt Negeri Kelantan...

    ReplyDelete
  6. Illa orang kelantan. =) terharu pulak baca artikel tu.

    ReplyDelete